Hindari Bala Jauhi Zina

Posted by Mrbelia on 09:02 PM, 01-Jan-12  •  Under: Sumber Dari Brunei

bla.jpeg

Bandar Seri Begawan - Berleluasanya zina dan maksiat pada masa ini merupakan di antara tanda-tanda kecil berlakunya Hari Kiamat, oleh itu ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam dan budaya orang-orang Brunei yang melarang hidup bersama sebelum perkahwinan serta melakukan seks luar nikah.

Lebih parah lagi, amalan seks yang tidak selamat adalah penyebab yang biasa berlaku dalam jangkitan HIV, tidak terkecuali Negara Brunei Darussalam yang telah mencatatkan jumlah terkumpul 70 kes tempatan jangkitan HIV sejak 1986 hingga kini, dengan 9 kes daripadanya dicatatkan pada tahun ini.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini seterusnya mendedahkan daripada 70 kes itu, 23 orang telah meninggal dunia dengan 1 kes kematian yang berkaitan dengan AIDS terjadi pada tahun ini.

Sehubungan dengan itu Khatib menyarankan sesiapa saja yang merasakan bahawa diri mereka telah berisiko agar menjalani pemeriksaan HIV di pusat-pusat kesihatan dan hospital kerajaan.

Khatib meyakinkan bahawa jika ujian pemeriksaan berkenaan positif HIV, identiti orang berkenaan akan dirahsiakan dan tidak akan didedahkan tanpa kebenaran terlebih dulu daripada diri orang itu sendiri.

"Seperti mana yang kita maklum bahawa HIV/AIDS itu mudah berjangkit disebabkan oleh perbuatan buruk manusia itu sendiri seperti penggunaan jarum suntikan yang tercemar oleh penagih dadah, perbuatan zina dan homoseksual."

Sesungguhnya perbuatan zina dan liwat merupakan penyakit sosial yang membawa kepada kejatuhan dan kehancuran umat, tegas Khatib sambil menambah kata, maka sudah sewajarnya perbuatan berkenaan dijauhi, disekat dan dihapuskan dengan sikap yang tegas dan bersegera.

"Kita khuatir jika ia lambat disekat dan dihapuskan, apabila sesuatu bala' itu diturunkan Allah, bukan hanya orang yang melakukan maksiat itu saja yang akan ditimpa bala', malah kita semua akan turut menerima sama kesannya." Oleh sebab itu kita hendaklah menjauhi diri, keluarga dan umat Islam seluruhnya dari perbuatan dosa dan maksiat, tekan Khatib lagi.

Khatib kemudiannya telah mengungsikan beberapa kaedah ke arah memastikan masyarakat Islam tidak terjebak melakukan perbuatan-perbuatan maksiat seperti seks luar nikah dan liwat itu.

Yang pertama adalah dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar iaitu mentaati perintah dan hukum Allah Ta'ala serta menjauhi segala larangannya, manakala yang kedua pula ialah mengamalkan perkara amar makruf nahi mungkar iaitu menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah perbuatan mungkar, kongsi Khatib.

Khatib seterusnya berkata, langkah yang seterusnya pula ialah dengan mengukuhkan institusi keluarga, kerana kekuatan sesebuah masyarakat, negara dan umat Islam adalah bergantung pada kemantapan institusi keluarga.

"Oleh itu suami isteri, ibu bapa dan keluarga sama-sama bertanggungjawab untuk mewujudkan hubungan kekeluargaan dalam suasana dan persekitaran yang sihat dan mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya, mendidik dengan pembentukan akhlak dan peribadi yang mulia, menunjukkan teladan yang baik serta memberi perhatian, pemedulian dan kasih sayang yang secukupnya."

Khatib menegaskan ibu bapa adalah berkewajipan mengenai masalah anak-anak secara bijaksana dan bersikap tegas jika mendapati anak-anak mereka terlibat dengan gejala mungkar. Jangan tunggu hingga masalah menjadi parah baru hendak bertindak kerana nasihat dan teguran di peringkat awal akan dapat menyelamatkan anak-anak dari terus terjerumus ke lembah dosa dan maksiat, ujar Khatib lagi.

"Ingatlah! Anak-anak adalah suatu amanah yang semestinya dijaga dan dipelihara dengan sebaik-baiknya."
--Courtesy of Media Permata

Share on Facebook Share on Twitter

Comments

No comments yet. Why not make the first one!

New Comment

[Sign In]
Name:

Email:

Comment:
(You may use BBCode tags)