Apr14

Penemuan Arkeologi Purba Di Brunei Darulsalam

Posted by Mrbelia • Under: Sumber Brunei
SERING kali kita keliru dengan pengertian sejarah dan arkeologi, padahal kedua-dua perkataan tersebut mempunyai perkaitan yang tidak dapat dipisahkan. Adakah anda tahu dan peka dengan apa yang dimaksudkan dengan perkataan Arkeologi? Banyak definisi-definisi yang diberikan kepada perkataan arkeologi oleh ahli bahasa dan juga oleh ahli arkeologis sendiri. Arkeologi ialah ilmu yang mengkaji tinggalan-tinggalan manusia zaman silam secara berkaedah dan bersistematik bagi mendapatkan selengkap-lengkapnya tentang kebudayaan dan masyarakat zaman silam bertujuan menyusun semula cara kehidupan masa lalu. Tinggalan-tinggalan masa lalu itu adalah sejak adanya manusia di muka bumi ini dan apa juga yang dihasilkan dan dibuat oleh mereka atau masyarakat lalu yang boleh dilihat, dipegang, diukur dan diperjeniskan.

Menurut Matussin Omar, terdapat dua period kegiatan arkeologi yang dijalankan di Brunei. Period pertama bermula dengan kajian yang dijalankan oleh keluarga Harrisson yang bermula dari tahun 1951 sehinggalah tahun 1976. Manakala, period kedua bermula dari tahun 1976 sehingga sekarang yang dijalankan oleh anak Brunei tempatan sendiri di bawah pengarahan P. M. Shariffuddin, Matussin Omar dan beberapa orang yang lain.

Ada empat bahagian penemuan-penemuan arkeologi yang dapat membantu dalam pengajian Sejarah Brunei Awal iaitu penemuan prasejarah, zaman sejarah, pengkajian ke atas batu-batu nisan dan penemuan arkeologi dari dasar laut.

Zaman prasejarah meliputi waktu sejak wujudnya manusia di dunia ini dan berakhir apabila bermulanya sejarah bertulis iaitu kurang lebih 3,500 tahun sebelum Masihi apabila rekod-rekod bertulis mula wujud di Timur Dekat.

Alat-alat zaman batu tidak pernah dijumpai di Brunei sejak bermulanya eksplorasi arkeologi pada awal tahun 1950-an walaupun terdapat beberapa biji alat zaman batu ditemui di Sabah dan Sarawak. Tom Harisson membuat andaian bahawa ketiadaan alat-alat zaman batu di Brunei adalah berpunca daripada tiga perkara. Pertama, ianya berpunca daripada kehidupan mewah dan kaya-raya yang dialami oleh Kesultanan Brunei dan rakyatnya pada zaman sejarah menyebabkan mereka tidak berminat langsung untuk menyimpan artifak peninggalan zaman batu. Kedua, teori The Barren Land, iaitu ketiadaan gua batu dan tempat berburu yang sesuai. Ketiga, The Stone Starvation in Brunei iaitu kekurangan batu keras untuk membuat alat-alat batu.

Walau bagaimanapun, satu kejutan telah terjadi di akhir tahun 1975 apabila Awang Ahmad Sha'ari, seorang arkeologis Brunei, telah menjumpai satu alat zaman batu yang primitif semasa mengutip serpihan tembikar di Tanjung Batu. Mendengar mengenai penemuan bersejarah ini, tiga biji alat zaman batu koleksi persendirian yang dikutip oleh orang awam telah diserahkan kepada Muzium Brunei dan ini menambahkan lagi koleksi alat zaman batu ini menjadi empat. Dengan penemuan ini, maka terjawablah andaian yang mengatakan bahawa keunikan Brunei mempunyai sejarah dengan ketiadaan prasejarah. Penemuan ini membuktikan bahawa Brunei sememangnya mempunyai prasejarah sendiri sebelum adanya zaman sejarah.

Zaman sejarah pula bermula sejak manusia mencipta tulisan dan menyimpan rekod. Zaman sejarah ini sangat hebat perkembangannya dan jauh lebih maju daripada segi pencapaiannya.

Menurut Hussainmiya, Brunei Darussalam yang sudah pun dikenali sebagai Po'ni pada awal abad ke-10 Masihi dari sumber Cina, sememangnya kaya dengan peninggalan sejarahnya sama ada daripada tulisan lisan, catatan daripada manuskrip tempatan dan asing dan peninggalan artifak yang bersejarah dan daripada beberapa sumber yang lain. Untuk mengukuhkan catatan yang dibuat oleh sejarawan ini, beberapa eksplorasi dan penggalian arkeologi telah pun dibuat sejak awal tahun 1950-an lagi sehinggalah sekarang. Antara tempat-tempat yang dieksplorasi untuk tujuan penggalian arkeologi adalah Kota Batu, Terusan Kupang, Tanjung Batu, Bintuduh, Mengsalut, Sungai Lumut dan Sungai Labu Temburong. Walau bagaimanapun, peninggalan artifak Brunei banyak ditemui di Kota Batu.

Menurut Dato Seri Utama (Dr.) Haji Awang Muhammad Jamil Al-Sufri, Kota Batu adalah sebuah tempat yang unggul dan terpenting sekali seperti yang tercatat dalam Tarsilah Raja-Raja Brunei di dalam zaman pemerintahan Sultan Sharif Ali. Bagindalah Sultan Brunei Ke-3 yang mengarahkan orang-orang Cina membuat kubu daripada batu untuk mengelakkan kota ini daripada serangan musuh dan sejak itu, tempat ini terkenal dengan panggilan Kota Batu. Kota Batu terletak berdekatan dengan Sungai Brunei dan hanya tiga batu dari Bandar Seri Begawan. Tempat ini mulai digali pada tahun 1952-53 oleh Tuan Harrisson dengan bantuan dari Jabatan Kerja Raya.

Menurut Barbara dan Tom Harrisson, semasa penggalian arkeologi dijalankan di Kota Batu, banyak serpihan tembikar dan porselin yang dipercayai dibuat di zaman Dinasti Ming dan hanya sedikit sahaja serpihan tembikar dan porselin daripada Dinasti Ching. Kebanyakan serpihan tembikar dan porselin ini berwarna biru dan putih. Antara artifak ceramik buatan Cina ini adalah mangkuk, piring, kotak bertutup, tekoan, pasu dan kendi. Selain daripada bahan artifak ini, bahan-bahan artifak kayu tempatan juga banyak ditemui. Sebanyak 1,578 kepingan kayu ditemui dan sejumlah 75 objek kayu dapat dikenali yang terdiri daripada perkakas rumah, bahagian alat-alat mekanikal untuk menenun kain, alat-alat menangkap ikan, alat-alat mainan seperti gasing, roda dan beberapa alat yang lain.

Menurut Matussin Omar, di kawasan Kota Batu ini juga dijumpai struktur batu-batu bersusun yang merupakan tembak (causeway). Tembak ini bermula daripada kawasan-kawasan tinggi di Kota Batu dan menuju ke tebing sungai berhadapan dengan sebuah pulau kecil yang bernama Pulau Trindak. Di kawasan tinggi ini dipercayai istana Sultan Brunei didirikan walaupun tapak sebenar masih belum dijumpai. Pulau Trindak dipercayai sebagai sebuah pulau yang dibuat oleh manusia dan pulau ini dihubungkan dengan Kota Batu melalui sebuah jambatan kayu. Pulau ini berfungsi untuk menambat perahu serta mengawasi kapal-kapal yang keluar masuk di perairan Sungai Brunei. Antara sultan yang dimakamkan di Kota Batu ialah Sultan Sharif Ali dan Sultan Bolkiah. Menurut Matussin Omar dan Dato P. M. Shariffuddin, dengan penemuan-penemuan artifak arkeologi ini menandakan bahawa Kota Batu adalah ibu kota tertua dan pusat perdagangan yang terpenting di Brunei dan di Borneo pada kurun ke-14 Masihi.

Bahagian pengkajian arkeologi ke atas batu-batu nisan peninggalan zaman sejarah ini juga penting kerana batu nisan memang tidak dapat dinafikan mempunyai sejumlah kekuatan yang boleh dijadikan sebagai sumber sejarah kerana dengan mengkaji inskripsi dan bentuk serta jenis batu nisan tersebut dapat memberikan kita beberapa maklumat. Menurut Matussin Omar dan juga Ahmad Cholid Sodrie, antara maklumat tersebut adalah catatan nama-nama yang tertera di atas batu nisan tersebut dapat menentukan pemiliknya sama ada nisan tersebut kepunyaan seorang sultan, pembesar negara, alim ulama, pedagang, duta negara asing ataupun orang-orang kenamaan dan sebagainya. Tarikh yang tercatat di batu nisan juga membantu kita mengenali peristiwa bersejarah yang berlaku pada sesuatu zaman seperti perkembangan silam, perhubungan diplomatik atau perdagangan dan sebagainya, manakala bentuk batu nisan dapat memberikan gambaran kepada kita tentang tamadun dan teknologi yang ada pada zaman tersebut seperti seni pahatan Ayer Mulih pada makam-makam Diraja Brunei, nisan yang berbentuk bunga Lotus yang menggambarkan tiga helai rambut Pendeta Buddha, batu granite yang menandakan batu nisan tersebut didatangkan dari luar negeri, batu yang berbentuk buatan luar negeri seperti Acheh, batu yang berbentuk stupa dan sebagainya. Bentuk batu nisan juga dapat memberikan gambaran kepada kita tentang status orang yang empunyanya. Inskripsi di batu nisan yang bertulis Jawi, Arab, Sanskrit dan Cina dapat memberikan kita informasi tentang pengaruh sesuatu kebudayaan itu kepada negara.

Menurut catatan Ahmad Cholid Sodrie dalam Seminar Sejarah Brunei, untuk mengkaji dan mengumpulkan beberapa fakta yang diperolehi daripada batu nisan yang ada di Negara Brunei Darussalam, beberapa penyelidikan arkeologi telah dijalankan sejak tahun 1979. Penyelidikan ini juga membabitkan pakar dari luar negeri seperti Mesir, India, Cina dan beberapa negeri yang lain. Sejauh ini Muzium Brunei telah berhasil mengumpulkan beberapa inskripsi yang diperolehi daripada batu-batu nisan di Kota Batu, Kubur Dagang Jalan Residensi, Perkuburan Kianggeh, Renggas, Tumasek, Kubah Makam Diraja dan di beberapa tempat yang lain.

Pengiran Karim (arkeologis Brunei) mencatatkan bahawa salah satu batu nisan yang terkenal dan bermakna di Brunei adalah batu nisan yang bertulis Cina yang terdapat di perkuburan orang-orang Islam di Renggas. Pelbagai spekulasi telah dibuat mengenai kehadiran batu nisan tersebut. Mengikut keterangan daripada Dato Seri Utama (Dr.) Haji Awang Muhammad Jamil Al-Sufri, batu nisan tersebut pada asalnya terletak di Kota Batu. Pada tahun 1930-an, apabila Pehin Kapitan Ong Boon Pang memerlukan batu untuk membuat rumah kedai di Bandar Brunei, banyak batu-batu daripada Kota Batu telah diambil dan dijual kepada beliau. Antara batu-batu tersebut adalah batu nisan Tuan Pu. Batu nisan ini kemudian dibeli oleh seorang lelaki dari Kampung Sungai Kedayan untuk nisan salah seorang ahli keluarganya.

Batu nisan Tuan Pu mulai menjadi perhatian pada tahun 1972 apabila Wolfgang Frankie, P. M. Shariffuddin dan Awang Abdul Latif membuat penyelidikan di Tanah Perkuburan Renggas. Kemudian pada tahun 1973, Frankie dan Chen mengkaji batu nisan lama yang bersejarah. Transkripsi batu nisan tersebut adalah 'Kubur Pán Yuan, Tuan P'u dari Quanzhou dari Empayar Sung. Dibina dalam (tahun) Chia-Tzu Ching Ting oleh anak-anak lelakinya Ying Chia'. Tuan Pu meninggal dunia pada tahun 1264 Masihi. Pertarikhan tahun 1264 Masihi, pada batu nisan tersebut merupakan pertarikhan Cina yang terawal sekali dijumpai di Asia Tenggara.

Siapa sebenarnya Tuan Pu ini masih menjadi tanda tanya disebabkan keterhadapan inskripsi yang ada pada batu nisan tersebut. Mengikut Pengiran Karim (arkeologis Brunei), nama sebenar Tuan Pu ialah Pu Zongmin. Isi Pu Zongmin ke Brunei berkemungkinan disebabkan oleh dua perkara iaitu politik dan perdagangan. Pada tahun 1990, Zhung Weiji, seorang arkeologis Cina yang membuat kajian di Brunei, berpendapat bahawa Tuan Pu ada hubungan kekeluargaan dengan Pu Shongeng yang merupakan seorang Muslim dan Pengurus Kastam di Quanzhou. Sumber yang digunakan adalah sebuah manuskrip lama Cina Xi-Shan Za-Zhi yang dikumpul oleh Lin Shaochuan. Tuan Pu dikatakan bekerja sebagai Duta Brunei dan telah meninggal dunia semasa menjalankan tugasnya.

Apa sebenarnya yang dapat dipelajari daripada penemuan batu nisan Tuan Pu ini? Ada tiga andaian yang dapat kita pelajari. Pertama, Tuan Pu adalah seorang Cina Muslim yang meninggal di Brunei pada tahun 1264 Masihi. Pada kurun ke-12 Masihi, adakah Brunei sudah mengadaptasi Islam sebagai agama negara? Kerana dalam Salasilah Raja-Raja Brunei, Sultan Brunei yang pertama, Sultan Muhammad Syah hanya memerintah dari tahun 1363-1403 Masihi. Kedua, adakah Islam di Brunei itu dibawa oleh orang Cina? Sedangkan manuskrip tempatan mengatakan bahawa Islam di Brunei telah dibawa oleh mubaligh-mubaligh dan pedagang-pedagang Islam dari Timur Tengah umpamanya seperti Sultan Sharif Ali, beliau adalah seorang mubaligh dari negeri Tarif yang menjadi Sultan Brunei Ke-3 setelah berkahwin dengan Puteri Sultan Ahmad. Bagindalah yang menguatkan syariat Islam semasa zaman pemerintahannya. Ketiga, kalau Kerajaan Cina sudah menghantar wakilnya ke Brunei, bermakna Brunei sudah mempunyai sebuah kerajaan yang mantap dan stabil. Sedangkan pemerintahan Sultan Muhammad pada kurun ke-13 Masihi, Brunei takluk di bawah pemerintahan Kerajaan Majapahit. Jika Islam sudah sampai di Brunei pada tahun Masihi ke-12, besar kemungkinan ada kesilapan dalam kronologi Salasilah Raja-Raja Brunei.

Batu Tarsilah yang ditemui di Kubah Makam Diraja juga tidak kurang pentingnya dalam membantu pengajian Sejarah Brunei Awal. Batu Tarsilah telah diukir oleh Khatib Haji Abdul Latif yang menjadi sebahagian daripada batu nisan Makam Sultan Jamalul Alam 1. Walaupun banyak nama-nama Sultan Brunei yang tidak tercatat di dalamnya, namun Batu Tarsilah ini sedikit sebanyak dapat memberikan kita maklumat mengenai Sultan-Sultan Brunei dari Sultan Brunei yang pertama iaitu Sultan Muhammad Syah (1363-1492 Masihi) sehinggalah kepada Sultan Muhammad Tajuddin (Sultan Ke-19 yang masih memerintah dari tahun 1795-1804 dan 1804-1807).

Penemuan-penemuan arkeologi dari dasar lautan tidak pernah dibuat di Negara Brunei Darussalam sehinggalah sebuah kapal karam lama ditemui di dalam laut perairan Brunei secara kebetulan oleh Syarikat Elf Petroleum Asia semasa menjalankan kerja-kerja pengukuran bagi pemasangan paip pada tahun 1998. Penemuan ini juga dikenali sebagai Brunei Shipwreck. Projek ini dibiayai dan diawasi sepenuhnya oleh Syarikat Elf Petroleum Asia dan dijalankan pada tahun 1998 dengan memakan masa selama dua bulan. Walaupun kapal karam abad ke-15 ini ditemukan tanpa dirancang, namun kajian arkeologi yang menyeluruh tahun 1998 telah menunjukkan bahawa ianya merupakan satu-satunya penemuan muatan bahan-bahan Asia yang terbesar pernah dijumpai di perairan Laut China Selatan. Hampir sejumlah 4,600 biji tembikar jenis biru dan putih yang dipercayai buatan pada zaman Dinasti Ming telah ditemui. Jumlah ke semua artifak yang ditemui adalah 13,500. Dilihat daripada sudut perjalanan maritim ratusan tahun yang silam, penemuan Brunei Shipwreck mengimbas kembali sejarah zaman kegemilangan Sultan Bolkiah, Sultan Brunei Ke-5. Ianya menunjukkan betapa penting dan kuatnya pengaruh Brunei di rantau ini pada ketika itu. Dengan penemuan arkeologi dari dasar laut ini berperanan sebagai batu loncatan ke arah banyak penemuan pada masa akan datang.

Berdasarkan kepada beberapa penemuan-penemuan arkeologi di Brunei sememangnya dapat membantu dalam pengajian Sejarah Brunei Awal. Pengajian arkeologi sedikit sebanyak dapat membantu kesahihan manuskrip yang ditulis oleh sejarawan asing dan tempatan, umpamanya seperti penemuan artifak buatan luar negeri seperti dari Cina menandakan pesatnya aktiviti perdagangan antara Brunei dan Cina. Penemuan artifak tempatan seperti alat permainan, alat menangkap ikan dan peralatan rumah, dapat memberikan pengetahuan mengenai cara kehidupan di awal zaman sejarah. Penemuan batu nisan yang beraneka bentuk, corak dan tulisan juga dapat memberikan kita maklumat yang berguna dalam mentafsir sesuatu peristiwa yang terjadi pada sesuatu zaman itu. Apatah lagi dengan kehadiran alat-alat yang canggih dan berteknologi tinggi, sudah setentunya penemuan arkeologi itu dapat membantu dalam mengenal Sejarah Brunei Awal. Contohnya artifak tembikar, batu nisan, bekas bangunan dan sebagainya kerana artifak-artifak ini terdedah kepada kerosakan akibat proses alami seperti hujan, panas mentari dan hakisan serta kerakusan manusia dan beberapa faktor yang lain. Malah dalam mengkaji batu nisan, ada beberapa inskripsi yang tidak dapat dibaca atau dikenal langsung hurufnya. Ada pula batu nisan yang mempunyai pertarikhan yang bersifat arbitrari yang cukup mengelirukan seperti tahun Jim dan Zai. Banyak juga batu-batu nisan lama yang tidak mempunyai sebarang inskripsi. Faktor-faktor tersebut sudah setentunya tidak memberikan apa-apa maklumat kepada arkeologis ataupun orang yang mengkajinya. Justeru itu, sebagai seorang ahli arkeologis dan sejarawan yang profesional, mestilah peka dalam mengambil sesuatu maklumat yang berguna untuk menjadi khazanah negara buat pengetahuan generasi yang akan datang. Artikel ; http://www.pelitabrunei.gov.bn/news/pelita/13feb11/sasbuday.htm
Share on Facebook Share on Twitter

Comments

No comments yet. Why not make the first one!

New Comment

[Sign In]
Name:

Email:

Comment:
(Some BBCode tags are allowed)

Security Code:
Enable Images