Sedih , Walau Hajat Ibu Tercapai
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos - "Hajat ibu supaya kami sekeluarga memiliki rumah sendiri tercapai akhirnya tetapi kami sedih kerana ibu tidak sempat mendiami rumah ini dan menyambut Hari Raya Aidil Fitri bersama kami tahun ini. Sunyi rasanya tanpa kehadiran ibu di rumah baru ini."
Sebelum pergi buat selamanya menyahut panggilan Ilahi pada 6 April 2011 yang lalu, ibu pernah membayangkan bahawa kami sekeluarga iaitu ibu dan kami tiga beradik akan sempat menyambut Hari Raya Aidil Fitri 1432 Hijrah bersama di rumah sendiri di atas tanah pusaka peninggalan ayah kami di Kampung Serasa ini, cerita Muhd Aslam Jefrideen, 21, anak sulung kepada Allahyarhamah Maimunah Abdullah.
Allahyarhamah Maimunah merupakan seorang mualaf yang telah memeluk ugama Islam pada tahun 1991. Beliau ketika hidupnya merupakan seorang penerima bantuan daripada Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).
Muhd Aslam bersama dua orang adiknya, Muhd Adnan Jefrideen, 20, dan Muhd Hafizzudin Jefrideen, 16, baru saja menerima rumah baru hari ini dalam satu Majlis Penyerahan Sijil Kesiapan Rumah Baru yang diselaraskan oleh Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan kerjasama Jabatan MUIB hari ini.
Menyempurnakan penyampaian Sijil Kesiapan Rumah berkenaan dan barang keperluan harian ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Haji Mohd Alimin Haji Mohd Tanjong, manakala replika kunci rumah berkenaan telah diserahkan oleh Pemangku Timbalan Setiausaha MUIB, Hajah Mahani Haji Musa.
Dalam temubual bersama Media Permata, Muhd Aslam menyatakan pada mulanya sangat sukar bagi mereka untuk meneruskan kehidupan selepas ibu mereka kembali ke rahmatullah pada usia 58 tahun, namun perlahan-perlahan mereka dapat juga membiasakan diri mereka.
Memandangkan rumah itu belum lagi disambung bekalan elektriknya, maka mereka akan masih menetap di berek kepunyaan Jabatan Kerja Raya di kawasan Kampung Serasa berkenaan, tempat tinggal mereka selama bersama ibu, sejak bapa mereka kembali ke rahmatullah pada bulan Mac 2004, lebih 7 tahun yang lalu, ceritanya lanjut.
Menyentuh mengenai rumah baru itu, menurutnya, rumah itu pada asalnya dibina sewaktu kedua ibu bapanya masih hidup lagi menggunakan sumbangan agihan bantuan wang zakat yang diterima daripada MUIB sebanyak $9,000.
Setelah memperoleh kerja dua tahun lalu di sektor swasta, iaitu selepas selesai mendapat keputusan Peperiksaan 'O' Levelnya, beliau pun mula mengeluarkan duitnya sendiri untuk cuba menyiapkan rumah itu secara perlahan-lahan mengikut kemampuannya, ujarnya.
"Kemudian adiknya, Muhd Adnan pula bekerja, juga di sektor swasta, maka mereka berdua bersama-sama menggunakan duit gaji mereka dalam usaha mereka untuk melihat rumah itu dapat disiapkan demi keselesaan hidup mereka bersama ibu mereka, sehinggalah bahagian atap dan menyambung bekalan elektrik saja lagi yang tinggal."
Jika sekadar mengharapkan gaji mereka berdua, setentunya rumah itu belum tentu rumah itu siap seawal ini, mujur melalui bantuan Pengarah tempat ibunya bekerja dulu membantu mereka untuk memohon bantuan kewangan kepada agensi-agensi berkenaan, sehingga siaplah rumah ini, katanya.
Belanja bagi kesiapan keseluruhan rumah yang dilengkapi dengan 3 bilik tidur, 1 bilik tamu, 1 tandas, 1 bilik mandi dan 1 dapur itu adalah sebanyak $20,000.
Dalam pada itu, Jabatan MUIB telah memberikan sumbangan bantuan kewangan sebanyak $20,000 melalui Kumpulan Wang Zakat dalam kerja-kerja menyiapkan keseluruhan rumah berkenaan manakala perbelanjaan bagi kerja-kerja pendawaian dan penyambungan bekalan api elektrik adalah melalui Tabung Amal Jabatan Daerah Brunei dan Muara.













Comments
No comments yet. Why not make the first one!
New Comment