Sektor awam bakal nikmati dua hari cuti jaga ibu bapa
SINGAPURA : SEKITAR 76,000 kakitangan perkhidmatan awam bakal menikmati dua hari cuti penjagaan ibu bapa setiap tahun. Bermula 1 Januari ini, pegawai perkhidmatan awam boleh mengambil cuti tersebut untuk menjaga ibu bapa mereka, termasuk ibu bapa mentua. Tiada surat doktor diperlukan bagi mengambil cuti penjagaan ibu bapa itu. Selain cuti penjagaan ibu bapa, pegawai perkhidmatan juga akan mendapat cuti ihsan tiga hari jika seorang anggota keluarga rapat meninggal dunia. Ini diumumkan dalam satu kenyataan media Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD), semalam. Menjelaskan langkah tersebut, Pengarah Kanan, PSD, Pejabat Perdana Menteri (PMO), Encik Han Neng Hsiu, berkata: 'Dengan penduduk yang semakin lanjut usia dan saiz keluarga yang lebih kecil, pegawai-pegawai yang mempunyai ibu bapa tua memerlukan masa menjaga mereka,' kata Encik Han. Beliau menambah, langkah ini sejajar dengan kedudukan pihaknya sebagai majikan yang mesra keluarga. Kededua cuti penjagaan ibu bapa dan cuti ihsan akan tertakluk di bawah cuti yang tidak direkod. Buat masa ini, cuti tidak direkod boleh digunakan bagi perkahwinan, paterniti, peperiksaan dan kegiatan kesatuan. Cuti penjagaan ibu bapa dan cuti ihsan yang bakal diperkenalkan itu bagaimanapun tidak akan mengubah had cuti tidak direkod yang boleh diambil, iaitu 14 hari. Berita Harian (BH) difahamkan bahawa beberapa lembaga berkanun dalam sektor perkhidmatan awam mungkin sudah pun mengamalkan kededua cuti ini. Ketika dihubungi BH, seorang pegawai perkhidmatan awam, Cik Camelia Marican, menyifatkan langkah ini sebagai permulaan baik ke arah persekitaran kerja yang mesra keluarga. 'Seorang yang perlu menjaga orang tua sakit mungkin perlu lebih waktu cuti untuk menghantar orang tuanya ke doktor atau poliklinik, terutama sekali bagi orang tua yang baru menjalani pembedahan. 'Dua hari cuti itu tentunya dapat membantu,' kata Cik Camelia, 48 tahun, seorang pengurus di Lembaga Taman Negara (NParks). Beliau mempunyai seorang ibu yang berusia 78 tahun dan seorang ibu mentua berusia 74 tahun.
Berita Harian Singapura













Comments
No comments yet. Why not make the first one!
New Comment