Semua pihak berperanan menerapkan falsafah pendidikan Islam

Posted by Mrbelia on 10:17 AM, 02-Dec-11  •  Under: Sumber Dari Brunei

berita08.jpg BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 30 November. - Tanggungjawab menerapkan falsafah pendidikan Islam bukan hanya di bahu Kementerian Hal Ehwal Ugama sahaja, malah sokongan, kerjasama dan penglibatan yang berterusan dari semua pihak termasuk agensi-agensi awam, swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta masyarakat pada umumnya untuk memainkan peranan masing-masing. Dengan kata lain, tanggungjawab kita bukan hanya setakat membangun sekolah dan membekalkan ilmu semata-mata, tetapi meliputi pembangunan sumber modal insan yang bertakwa demi membentuk masyarakat yang didasari oleh pendidikan Islam yang teguh. Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri menekan perkara tersebut semasa bersabda merasmikan Konvesnyen Pendidikan Islam Kali Pertama 1433 Hijriah berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) di sini. Falsafah pendidikan Islam yang merangkumi prinsip-prinsip akidah, ilmu dan amal, sabda DYTM perlu diterapkan sepenuhnya yang mana perkara ini berkait rapat dengan aspirasi kita bagi menzahirkan Wawasan Brunei yang setentunya bergantung kepada kejayaan sistem pendidikan negara yang menjurus kepada pembentukan sumber manusia yang berilmu, beriman, bertakwa, berkemahiran serta progresif. DYTM turut memetik inti pati titah Paduka Ayahandanya di Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam pada 8 Mac 2007 yang berbunyi .."untuk kita lebih 'survive' selaku bangsa dan negara yang aman jaya, maka tidak boleh tidak, pendidikan agama mestilah wajib ke atas setiap manusia Muslim dan dengan cara itu semua mendapat berkat dan cahaya daripada-Nya". Ke arah itu sabda DYTM, beberapa langkah strategik telah dan sedang giat dilaksanakan yang meliputi usaha penggubalan perundangan dengan mewajibkan kanak-kanak Islam mengikuti persekolahan agama bermula umur tujuh tahun sehingga tamat Darjah Enam, pengemaskinian kurikulum persekolahan agama dan mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam di seluruh peringkat pengajian, dan pengenalan sistem Pembelajaran Al-Qur'an Berkategori. Pada masa yang sama, Kementerian Pendidikan sabda DYTM juga turut berperanan dalam memastikan penerapan pendidikan Islam secara berterusan di semua peringkat persekolahan dan institusi pendidikan tinggi di bawah kawalannya seperti yang termaktub dalam Perintah Pendidikan 2003. "Sebagai tambahan, mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam adalah salah satu mata pelajaran teras dalam Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21. Inisiatif serta usaha bersepadu ini dihasratkan bagi memastikan pembentukan warga negara yang taat dan sentiasa menghayati ajaran-ajaran Islam serta mendukung kedaulatan raja, kesetiaan bernegara, teguh bermasyarakat dan berakhlak mulia," sabda DYTM. Terdahulu DYTM turut melahirkan kepercayaan bahawa Konvensyen Pendidikan Islam ini adalah wadah bagi meningkatkan pengetahuan dan mencambah minda untuk memperkasa pendidikan Islam dan memantapkan lagi Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara zikir sesuai dengan temanya : 'Pendidikan Islam Memantapkan Negara Zikir'. Konvensyen ini sabda DYTM akan mempertemukan warga pendidik dengan ilmuwan pendidikan Islam sebagai wahana bagi membincang dan mengembangkan kefahaman kita terhadap kepentingan pendidikan Islam selaras dengan arus cabaran era globalisasi masa kini. Setentunya, kejayaan konvensyen tersebut sabda DYTM akan memperkasakan lagi syiar Islam sebagai agama yang syumul sesuai untuk sepanjang zaman. Pendidikan Islam secara formal di negara ini sabda DYTM telah diperkenalkan sejak pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien. Sejajar dengan peredaran zaman, pendidikan berteraskan Islam sabda DYTM telah mengalami arus perkembangan melalui kesinambungan beberapa inisiatif Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan baginda. Usaha ini sabda DYTM dibuat secara berterusan dengan menerapkan, menyemai dan memantapkan pendidikan Islam kepada seluruh rakyat dan penduduk termasuk penggubalan dasar-dasar tertentu dalam urusan pentadbiran awam dan negara. "Justeru, Pendidikan Islam adalah komponen penting dalam membentuk syakhsiah bangsa dan memantapkan Negara Melayu Islam Beraja sebagai identiti bangsa yang progresif," sabda DYTM. DYTM penuh berharap Konvensyen Pendidikan Islam ini akan berupaya menghasilkan resolusi yang mengemukakan idea ke arah melengkapi dasar pendidikan negara yang menjurus kepada pemantapan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

Sumber : Pelita Brunei

Share on Facebook Share on Twitter

Comments

No comments yet. Why not make the first one!

New Comment

[Sign In]
Name:

Email:

Comment:
(You may use BBCode tags)