Thailand Berdepan Dengan Kesukaran 3G

Posted by Mrbelia on 08:15 PM, 13-Oct-11  •  Under: Mobile / Pc



SEJAK kebelakangan ini, semakin ramai warga urban Thailand menjadikan telefon pintar BlackBerry dan iPhone sebagai salah satu aksesori yang perlu dimiliki mereka.

Meskipun, telefon pintar menjadi kegilaan negara berkenaan, rangkaian internet mudah alih masih berdepan kesukaran dalam menawarkan perkhidmatan lebih pantas kepada pelanggan-pelanggan di negara Gajah Putih itu.

Selepas sedekad teknologi komunikasi generasi ketiga (3G) dilancarkan di Jepun, perkhidmatan 3G masih belum dapat dinikmati sepenuhnya rakyat negara Thailand sedangkan negara jiran mereka Laos sudah mula memperkenalkan teknologi 4G yang lebih pantas.

Selain Myanmar yang dikuasai tentera, Thailand merupakan negara di Asia Tenggara masih tidak menggunakan perkhidmatan 3G sepenuhnya. Teknologi 3G banyak memberi manfaat apabila membolehkan pengguna telefon mudah alih melayari internet dan memuat turun muzik serta video melalui telefon mudah alih.

"Saya telah membeli telefon ini kira-kira tiga tahun lalu kerana menyangka dapat menggunakan 3G tetapi, ia mengambil masa tiga tahun untuk menikmati perkhidmatan tersebut," kata Tiabtawan Limjittrakorn, 25, yang menetap di Bangkok.

Negara Kemboja turut mempunyai rangkaian 3G sejak tahun 2006 lagi, ia sekali gus membolehkan pengguna mudah alih mengakses kandungan dalam talian dengan lebih pantas berbanding jiran mereka Thailand.

Pada tahun lalu, mahkamah Thailand memberhentikan bidaan lesen rangkaian 3G pada saat-saat akhir disebabkan syarikat gergasi milik kerajaan, CAT, membantah bahawa Suruhanjaya Telekomunikasi Negara tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan bidaan.

CAT dan sebuah lagi syarikat milik kerajaan, TOT mempunyai hak menguntungkan bagi pemberian konsesi untuk perkhidmatan generasi kedua dan berdepan kerugian dalam pendapatan sekirannya pengendali-pengendali memperoleh lesen 3G dan bertukar kepada teknologi baharu itu.

Terdapat beberapa kawasan yang mendapat liputan terhad apabila tiga pengendali telekomunikasi utama Thailand iaitu Advanced Info Service (AIS), Dtac dan True mengetepikan isu lesen dengan menaik taraf kelajuan rangkaian penghantaran data, membina tiang-tiang komunikasi serta menyediakan rangkaian 3G secara percuma.

Peningkatan pengguna telefon

Dalam pada itu, firma-firma konsortium menawarkan liputan kelajuan tinggi kepada pengguna walaupun di luar kawasan tersebut tidak terdapat isyarat.

Situasi tersebut membuatkan pengguna telefon pintar Thailand menjadi pakar dalam mengemudi perkhidmatan disediakan kepada mereka.

Bahkan, terdapat pengguna yang mempunyai telefon dan beberapa kad SIM. Ada yang digunakan di rumah, ketika menaiki kereta api tatkala hendak ke pejabat dan mungkin apabila berkunjung pusat beli-belah.

Mengikut kajian Nielsen, Thailand mencatatkan pengguna internet mencecah sehingga 21 juta orang dan 17.6 juta daripada jumlah tersebut menggunakan telefon mudah alih mereka untuk mengakses internet.

Media sosial turut menunjukkan peningkatan mendadak apabila terdapat sebanyak 75 peratus lonjakan dalam akaun Facebook iaitu 12 juta pengguna sejak awal tahun ini.

Pengarah Amalan Telekom Nielsen Thailand, William Wang berkata, negara berkenaan merupakan antara negara di Asia Tenggara yang mempunyai kadar belian telefon pintar terpantas dengan pertumbuhan sebanyak lapan peratus pada tahun lalu.

Promosi-promosi diskaun telefon pintar cukup popular sehingga satu tawaran hebat iPhone baru-baru ini berjaya menarik ribuan pengguna di pusat beli-belah Bangkok malah, ada yang sanggup berkhemah semalaman semata-mata untuk mendapatkan peranti itu.

"Dengan telefon pintar terutamanya iPhone, saya rasa terdapat faktor trend yang menjadikan peningkatan ini. Ia baharu dan mencerminkan simbol status.

"Orang ramai sanggup beratur panjang untuk menggunakan peranti ini tetapi berharap mutu perkhidmatan 3G dapat ditingkatkan," kata Penganalisis Moody, Laura Acres kepada AFP.

Menurut kajian dilakukan pembikin telefon mudah alih HTC, jumlah jualan telefon pintar telah melonjak naik sekitar tiga juta pada tahun ini berbanding hanya 1.6 juta pada 2009.

Ketua Pengendali 3G, Piroon Paireepairit berkata, kumpulannya menjangkakan bilangan telefon pintar pada rangkaiannya akan bertambah tiga kali ganda dua tahun lagi dan 3G merupakan kunci utama strategi pada tahun akan datang.

"Tanpa rangkaian data seperti 3G telefon pintar bukanlah pintar," katanya. - AFP

Share on Facebook Share on Twitter

Comments

1 responses to "Thailand Berdepan Dengan Kesukaran 3G"

VaiosGR [09:46 PM, 31-Oct-11]

Good

Subscribe to comment feed: [RSS] [Atom]

New Comment

[Sign In]
Name:

Email:

Comment:
(You may use BBCode tags)