Tiru Cara Nabi Santuni Kanak Kanak

LAMA sebelum pakar psikologi moden mengaitkan kesan kasih sayang dengan peranannya dalam pertumbuhan emosi anak-anak, Nabi Muhammad saw sudah pun mengajar cara menjaga perkembangan emosi dan sosial kanak-kanak.
Baginda menunjukkan kesantunan terhadap kanak-kanak sama seperti menghormati orang dewasa.
Dan ia berlaku pada persekitaran masyarakat yang terkenal dengan sikap kasar mereka, walaupun terhadap anak-anak yang kecil.
Kepekaannya akan pembangunan emosi kanak-kanak, antara lain, dapat dilihat ketika Baginda bersama cucunya. Nabi pernah sujud lama kerana membiarkan cucunya menduduki punggungnya.
Baginda tidak sedikitpun menganggap kelakuan cucunya sebagai satu halangan atau gangguan dalam beribadah. Malah, ia kesempatan Rasulullah menjinakkan hati anak kecil dengan ibadah kebaikan.
Bayangkan jika Rasulullah menepis atau menghalang mereka daripada bersamanya ketika solat, ini boleh membuatkan anak-anak itu semakin jauh, dan lebih buruk lagi menimbulkan rasa benci pada ibadah kerana pengalaman kurang baik bersama ibu bapa mereka dahulu.
Dalam satu peristiwa lain, diriwayatkan bahawa Baginda mengusap kepala seorang anak kecil yang bersedih kerana kematian burung sambil berkata dengan mesra:
'Wahai Abu 'Umayr, apa yang dibuat oleh Nughair (si burung kecil)?' Baginda memujuknya sambil bergurau bagi melupakan kedukaan anak kecil itu.
Baginda menambat hati anakanak kecil dengan berkomunikasi mengikut kaedah yang sesuai dengan tahap pemikiran anak tersebut.
Jika dilakukan dengan bijak, ini mampu menghasilkan jalinan kemesraan dan menyumbang kepada keyakinan diri si anak. Ia juga dapat memupuk sikap berdaya tahan dan yakin diri serta tidak mudah dihanyutkan arus keburukan.

Kesantunan yang dipamerkan Nabi dan mutu masa yang diberi terhadap anak-anak kecil ini harus menjadi teladan, terutama dalam situasi hari ini dengan kededua ibu bapa bekerja dan masa yang terbatas bersama anak-anak.
Pastikan tuntutan emosi anakanak tidak terabai.
Ketika mereka mempunyai kerja sekolah atau sedang menyiapkan diri bagi ujian peperiksaan misalnya, usah hampakan harapan mereka jika mereka menghampiri kita bagi meminta tunjuk ajar.
Luangkanlah masa dan berikan perhatian semampu mungkin.
Usah biarkan tugasan atau peralatan moden mengalihkan pandangan kita daripada keutamaan mendidik dan mendampingi mereka.
Kenali kekuatan dan kecenderungan anak-anak kita dan bimbinglah mereka dengan menerangkan kebaikan dan keburukan di sebaliknya.
Semoga dengan menghayati pekerti mulia Baginda ini, diri kita akan dihias indah dengan keluhuran budi dan akhlak, sekali gus menjadi manusia yang mengasihi dan dikasihi.
Semoga dengan demikian, kita dapat terus menyentuh jiwa yang berada di sekeliling kita dengan kebaikan dan kasih sayang serta sentiasa berada dalam lindungan-Nya.













Comments
No comments yet. Why not make the first one!
New Comment